Bahasa Malaysia | English
YAYASAN TUNKU ABDUL RAHMAN
 

SEJARAH PENUBUHAN YAYASAN TUNKU ABDUL RAHMAN

Penubuhan YTAR bertitik-tolak daripada gagasan Utusan Melayu (kini Utusan Malaysia) pada tahun 1966. Datuk Muhammad bin Jamil telah mengusulkan kepada Tan Sri Melan bin Abdullah; Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika itu untuk menubuhkan satu tabung pendidikan.

Tujuan utama penubuhannya adalah membantu pelajar-pelajar Melayu yang tidak berkemampuan bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Penubuhan tabung pendidikan ini juga untuk memperingati jasa-jasa besar YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang tidak ternilai; Bapa Kemerdekaan, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, dan Bapa Malaysia.

Maka bersempena ulang tahun keputeraan YTM Tunku Abdul Rahman yang ke-63 tanggal 8 Februari 1966, Utusan Melayu melancarkan satu kutipan derma untuk tabung tersebut. Pelancaran kutipan derma itu telah menerima sambutan yang sangat memberangsangkan daripada segenap lapisan masyarakat, ahli-ahli UMNO, kerajaan-kerajaan negeri, syarikat-syarikat, persatuan-persatuan, dan juga orang perseorangan.

Ketika perjumpaan di antara YTM Tunku Abdul Rahman dan pihak Utusan Melayu berlaku, YTM Tunku Abdul Rahman berkenan dengan tujuan penubuhan tabung tersebut dan pada masa yang sama beliau melihat keperluan untuk penubuhannya dilaraskan menjadi sebuah institusi nasional; bukan setakat sebuah badan mengutip derma bagi tujuan menampung keperluan pelajar-pelajar Melayu yang tidak berkemampuan.

Melalui Akta Parlimen Bil. 43 tahun 1966 bertajuk Akta Kumpulan Wang Yayasan Tunku Abdul Rahman yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 15 Julai pada tahun yang sama, maka Kerajaan Persekutuan menubuhkan YTAR. Status YTAR dikekalkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Government Organization, NGO).

Meskipun tujuan utama YTAR pada mulanya adalah membiayai pelajar-pelajar Melayu melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains dan Teknologi, namun memandangkan sumbangan kewangan YTAR ini datang daripada segenap lapisan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, maka tujuan itu diperluaskan. Oleh itu bantuan dan biasiswa YTAR telah dibuka kepada pelajar-pelajar Malaysia pelbagai kaum.

Pengerusi YTAR yang pertama yang dilantik atas nama baik dan reputasinya ialah Encik Mohd Khir Johari (kini Allahyarham Tan Sri). Pada 16 April 1974, Kabinet telah memutuskan bahawa Menteri Pelajaran Malaysia menjadi Pengerusi YTAR. Berkuatkuasa 27 Mac 2004, jawatan Pengerusi telah diambil alih oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia berikutan penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada tahun tersebut dan kini Menteri Pendidikan Malaysia.

Mengikut Akta yang telah diluluskan Parlimen, YTAR diurus tadbir oleh suatu badan Lembaga Pemegang Amanah yang ahlinya seperti berikut:

(a) Seorang Pengerusi yang dilantik oleh DYMM Seri Paduka baginda Yang Di-Pertuan Agong;

(b) Seorang wakil Kementerian Pendidikan Tinggi;

(c) Seorang wakil Perbendaharaan;

(d) Enam orang ahli yang dilantik oleh Menteri bertanggungjawab iaitu Menteri Pendidikan Tinggi;

 


 

 

BTAR

BPTAR

DTAR

PPTAR

 

 

 

 

 

Utama | Sejarah Penubuhan | YTAR | Pemberian | Penerimaan | Tunku Scholars | Hubungi Kami  
Senarai Pemberi Biasiswa Lain